EKONOMI

Pasaran getah dijangka alami dagangan berhati-hati minggu depan

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Pasaran getah Malaysia dijangka menyaksikan dagangan berhati-hati minggu depan, dipengaruhi konflik perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang berlanjutan, kata penganalisis.

Beliau berkata, bagaimanapun permintaan tinggi terhadap komoditi tersebut mungkin memberi sedikit sokongan kepada pasaran.

Faktor luaran, termasuk jangkaan kelembapan perdagangan global, akan memberi kesan ke atas komoditi itu, katanya.

Beliau berkata, selain kemelut perdagangan AS-China, kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS tidak mempengaruhi harga getah secara positif.

Sementara itu, Persatuan Negara-negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC) memaklumkan pengeluaran getah asli dunia meningkat 1.3 peratus tahun ke tahun kepada 8.510 juta tan pada lapan bulan pertama 2018.

Penggunaan dunia meningkat 5.5 peratus kepada 9.342 juta tan sekali gus menyebabkan kekurangan sebanyak 832,000 tan.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, pasaran getah Malaysia mencatatkan prestasi bercampur-campur hingga rendah, dengan harga tengah hari gred tayar SMR 20 Lembaga Getah Malaysia susut satu sen kepada 545 sen sekilogram, manakala susu getah pukal turun 11 sen kepada 400.5 sen sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi pada 5 petang bagi SMR 20 naik 3.5 sen kepada 549 sen sekilogram, manakala susu getah pukal susut 11 sen kepada 399.5 sen sekilogram.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :