NASIONAL

PDRM wujud laman web semak peniaga online

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 12 SEPT: Kini orang ramai berminat membeli barangan di atas talian (online) boleh menarik nafas lega sekiranya ragu-ragu dengan urusniaga yang bakal dibuat.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui laman facebook rasminya memberitahu, ini kerana pihaknya melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil sudah mewujudkan laman web khas bagi membuat semakan ke atas peniaga terbabit.

“Orang ramai boleh menyemak nombor telefon atau nombor akaun bank peniaga tersebut sama ada pernah mempunyai rekod dengan pihak polis ataupun tidak, sebelum boleh membuat sebarang urusan.

“Laman web yang boleh diakses melalui http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/# adalah platform untuk membantu mengurangkan kes penipuan pembelian online,” katanya.

Dalam masa sama PDRM turut mengingatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya memberi orang lain menggunakan akaun bank.

“Ini kerana terdapat kes peniaga online menggunakan akaun rakannya untuk membuat kerja penipuan, dan akhirnya pemilik akaun yang ditangkap untuk siasatan lanjut,” katanya.


Pengarang :