SELANGOR

PeBT diperkukuh menerusi program dan latihan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 SEPT: Pemerkasaan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) akan diperkukuhkan menerusi program dan latihan selaras dengan kehendak Generasi Muda Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia akan dilaksanakan menerusi Program Latihan Pemantapan Organisasi dan Kepimpinan.

Katanya, usaha itu bertujuan melahirkan PeBT yang sentiasa berkaliber, komited dan mempunyai pemikiran yang luas ke arah pembangunan generasi muda sebagai penggerak kepada pembangunan negara pada masa akan datang.

“Kerajaan Negeri juga mengambil inisiatif untuk mewujudkan Blueprint Pembangunan Generasi Muda 2018-2022 yang akan dijadikan sebagai asas gerak kerja PeBT dan juga sebagai satu panduan dalam pembangunan generasi muda Negeri Selangor pada masa akan datang.

“Inisiatif ini membabitkan pemegang taruh yang berkaitan di dalam pembangunan generasi muda Selangor dan pemimpin Penggerak Belia Tempatan yang berada di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi menggulung perbahasan menjujung kasih titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, di sini.

Amirudin berkata, peruntukan program PeBT masih dikekalkan sejak 2014 sehingga kini iaitu setiap PeBT diperuntukan sebanyak RM120,000.

“Ia menjadikan peruntukan keseluruhan adalah sebanyak RM1.44 juta. Manakala, sebanyak RM2.84 juta setahun diperuntukkan bagi PeBT termasuk peruntukkan elaun dan program,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri Selangor menubuhkan PeBT bagi tujuan melahirkan kepimpinan belia berwibawa yang dapat menjadi ejen perubahan kepada golongan belia.

Penggerak ini juga bertindak sebagai jentera pelaksana Kerajaan Negeri dalam melaksanakan dasar-dasar berkaitan pembangunan belia di peringkat akar umbi.

Perancangan sesuatu program pembangunan belia di bawah PeBT adalah berdasarkan kepada 10 teras yang terkandung di dalam Dasar Belia Negeri Selangor yang menjadi tonggak kepada pembangunan belia  mampan.

Pencapaian sesuatu program itu dinilai berdasarkan kepada kejayaan sesuatu pesanan atau input yang cuba disampaikan melalui program dilaksanakan dapat disampaikan kepada golongan sasaran dan seterusnya dapat diaplikasikan untuk pembangunan generasi muda.


Pengarang :