NASIONALPENDIDIKAN

Pelajar terbaik STPM kategori OKU daftar di UKM

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 SEPT : Pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2017 bagi kategori Orang Kurang Upaya (OKU) berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau, Abdul Hakim Abd Majid, 19 berkata, kecacatan pendengaran yang tidak menjadi halangan untuknya menjadi seorang pendidik suatu masa kelak.

“Selepas mengetahui UKM mempunyai bidang pendidikan khas, saya terus memilih UKM sebagai universiti pilihan pertama,” katanya ketika sesi pendaftaran pelajar baharu di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, untuk menjadi seorang pendidik, beliau perlu bersabar terutamanya bagi guru pendidikan khas kerana mengendalikan kanak-kanak istimewa.

“Jadi, ini adalah satu cabaran kepada saya dalam mendidik anak bangsa kelak. Walaupun saya mengalami masalah pendengaran, tetapi saya lebih cenderung mendidik anak-anak yang mempunyai masalah autism,” katanya.

Sementara itu, ibu Abdul Hakim, Ani Fadzilah Mat Han bersyukur kerana anak keduanya itu diterima masuk ke UKM.

“Abdul Hakim adalah seorang yang berdikari, walaupun sebelum ini beliau bukanlah pelajar cemerlang, tetapi semangatnya belajar tidak pernah padam dan dia tidak menjadikan kecacatannya sebagai penghalang untuk berjaya.

“Saya berharap cita-citanya menjadi seorang guru tercapai suatu hari nanti,” katanya.


Pengarang :