SELANGOR

Pelantikan EXCO baharu mungkin selepas Pembentangan Belanjawan 2019

OLEH SHEEDA FATHIL

HULU SELANGOR, 29 SEPT: Pelantikan EXCO baharu mungkin akan diumum selepas Pembentangan Belanjawan 2019 nanti, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau berkata, ia berikutan pelantikan itu perlukan masa kerana kini beliau sedang sibuk untuk menguruskan belanjawan dahulu.

“Pelantikan berkemungkinan sebelum atau mungkin selepas belanjawan kerana buat masa ini kita lebih memfokuskan untuk pelaksanaan belanjawan.

“Memandangkan ini merupakan pembentangan belanjawan pertama saya bersama barisan EXCO yang terdiri daripada muka baharu juga, jadi ia perlukan sedikit masa lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan dan Majlis Perasmian Laluan Baru Bas Smart Selangor di Masjid Jamek Ar Rahimah, Kuala Kubu Bharu, di sini, semalam.

Terdahulu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri kehilangan EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Allahyarham Prof Shaharuddin Badaruddin

Allahyarham Shaharuddin yang juga merupakan Ahli Dewan Negeri Seri Setia, meninggal dunia di Hospital Putrajaya pada Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14), Shaharuddin dari KEADILAN memenangi kerusi DUN Seri Setia selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Yusoff M Haniff dengan memperoleh sebanyak 29,250 undi.

Beliau mengalahkan Yusoff yang memperoleh 9,878 undi selain calon Pas, Mohd Ghazali Daud (4,563) dan calon Bebas, S Vigneswaran (217).


Pengarang :