SELANGOR

Peluang kerja dari rumah menerusi KISS

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 SEPT: Kerajaan Negeri akan memulakan projek perintis bagi Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dengan menyediakan peluang bekerja dari rumah tidak lama lagi.

Exco Kesihatan, Pemerdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, pihaknya kini merangka rancangan itu bersama syarikat korporat untuk dilaksanakan.

Katanya, menerusi inisiatif itu, penerima KISS akan diberi latihan untuk menghasilkan produk sekali gus memasarkan produk mereka dengan kerjasama daripada syarikat korporat berkenaan.

“Syarikat ini akan memberikan pelbagai latihan kepada penerima KISS dan mereka juga akan menerima bayaran gaji daripada syarikat berkenaan.

“Produk yang dihasilkan akan dipasarkan di Malaysia juga luar negara menerusi bantuan syarikat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Sidang Dewan Negeri, di sini.

Pada masa sama, Mariah berkata, semua Ahli Dewan Negeri (ADN) dinasihatkan meneliti syarat permohonan penerima KISS supaya program itu dinikmati oleh golongan yang benar layak.

“ADN mempunyai kuasa autonomi memilih penerima manfaat ini, oleh itu kita mahu penerima ini perlu dikenal pasti kelayakan bukannya hanya tandatangan sahaja.

“Ini bagi mengelakkan golongan yang layak tidak dapat manfaatnya,” katanya.

Terdahulu, KISS diperkenalkan melalui Belanjawan 2018 Selangor tahun lalu oleh mantan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Melalui KISS, setiap ibu yang layak akan menerima bantuan RM2,400 setahun atau RM200 setiap bulan.

Program itu memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 golongan ibu, termasuk mendapat bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak dan tepung serta pakaian sekolah untuk anak di pasaraya juga kedai runcit terpilih.

Peserta KISS boleh mendapat bekalan berkenaan di lebih 500 pasar raya dan kedai runcit berdaftar seperti Giant Hypermarket, 99 Speedmart serta Pusat Pakaian Hari-Hari.


Pengarang :