SELANGOR

Pembangunan belia jadi keutamaan, keusahawanan diberi perhatian

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 SEPT: Kerajaan Negeri sentiasa menitik beratkan aspek pembangunan belia di Selangor dengan memfokuskan dan memberi keutamaan kepada dua aspek penting iaitu pekerjaan dan pendapatan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, selain daripada memastikan belia mendapat pekerjaan, usaha perlu juga diberikan kepada pembabitan belia dalam bidang keusahawanan.

“Dalam banyak ketikanya, belia lebih menumpukan kepada usaha untuk mendapatkan pekerjaan sebagai sumber mata pencarian untuk menampung keperluan hidup.

“Mungkin juga disebabkan kurang pendedahan, kesedaran dan pengetahuan, belia tidak menganggap keusahawanan sebagai alternatif sumber pendapatan yang jauh lebih baik daripada pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi menggulung perbahasan menjujung kasih titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, di sini.

Sehubungan itu, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri memperkenalkan Program Dana Usahawan Mikro bagi membuka peluang kepada usahawan mikro di Negeri Selangor untuk mempelbagaikan dan mengkomersialkan produk.

Katanya, untuk mengukuhkan perniagaan dan perusahaan mikro di Negeri Selangor melalui peningkatan produktiviti (pengeluaran jualan dan pendapatan).

“Program ini memberi ruang kepada 55 usahawan belia di Selangor. Selain itu, generasi muda di Selangor juga berpeluang untuk menyertai program-program dijalankan oleh Kerajaan Negeri antaranya program Hijrah Selangor yang berteraskan konsep Pinjaman Asas Simpanan.

“Hijrah Selangor mensasarkan golongan khusus seperti ibu tunggal, penerima blue print, asnaf, belia, orang kelainan upaya dan khariah masjid.

“Melalui program ini, seramai 23,260 orang usahawan belia ditawarkan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM 143,919,000,” katanya.

Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri melalui Hijrah Selangor juga melaksanakan program mentor usahawan (mentoring system) iaitu Zero to Hero.

“Melalui program ini usahawan dilatih dan dipantau oleh syarikat peneraju (anchor company) dalam jangka masa enam bulan untuk memastikan kejayaan mereka,” katanya.

Manakala, bagi generasi muda yang mempunyai minat dalam bidang digital dan teknologi, mereka boleh menyertai program yang dijalankan oleh SITEC di bawah kelolaan Invest Selangor.

“SITEC juga melancarkan Selangor Digital Creative Centre, sebuah pusat inkubator yang menawarkan kolaborasi dan persekitaran inovatif untuk generasi muda melahirkan start-up dan produk teknologi yang kreatif,” katanya.


Pengarang :