SELANGOR

Pembangunan Bumiputera: Kerajaan Negeri senada dengan Putrajaya

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 2 SEPT: Kerajaan Negeri akan melihat dengan lebih terperinci dapatan hasil pembentangan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018; Mendepani Cabaran Bumiputera Dalam Malaysia Baharu yang berlangsung semalam untuk dimanfaatkan bagi rakyat di Selangor.

Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nor Azmie Diron berkata, Selangor mengambil pendirian untuk bergerak seiring dengan Kerajaan Persekutuan khususnya menerusi pelan pembangunan yang bakal dibentangkan dalam Belanjawan 2019.

“Tentunya dapatan hasil daripada forum ini akan kita gunakan sebaik mungkin supaya apa yang kita laksanakan di Negeri Selangor dapat seiring dengan Kerajaan Persekutuan.

“Kita tahu lebih 1/5 daripada rakyat Malaysia berada di Selangor, maka dengan sendirinya apa yang kita lakukan harus seiring dengan gagasan Kerajaan Persekutuan,” katanya kepada SelangorKini.

Menyentuh soal kupasan perbincangan dan ucapan yang diberikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad beliau mengakui tertarik mengenai aspek sumbangan rakyat kepada negara.

Menurutnya, teguran Mahathir itu memerlukan perhatian serius khususnya kegagalan melaksanakan projek atau kontrak yang dianugerahkan supaya amalan pelobi atau orang tengah demi meraih keuntungan dapat dihindarkan.

“Saya fikir kritikan dan nasihat diberikan Perdana Menteri perlu diberikan perhatian serius kerana kalau kita lihat satu lagi penegasan diberikan adalah apa sumbangan kita kepada negara berbanding apa negara berikan kepada kita

“Berdasarkan premis sebegini rupa, kita sebagai rakyat Malaysia harus memberikan perhatian serius bagaimana kita boleh memberikan sumbangan kepada negara dalam sebarang bentuk.

“Sekiranya kita berurusan dengan kerajaan sama ada diberikan tander, kontrak atau AP ini adalah satu tanggungjawab yang harus dilaksanakan dengan terbaik kepada negara, bukan untuk tujuan pembangunan diri, individu atau keluarga,” katanya.


Pengarang :