NASIONAL

Pemilihan KEADILAN: Dua dipecat, wakil rakyat diberi amaran keras

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 26 SEPT: Dua anggota KEADILAN dipecat serta merta berikutan insiden kekecohan yang berlaku pada hari pertama proses pengundian pada Pemilihan KEADILAN 2018 baru-baru ini.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, insiden terbabit turut melibatkan pergaduhan menggunakan senjata di Cabang Merbok, Kedah.

“Pertama di Merbok di mana melibatkan pergaduhan menggunakan senjata, maka kita ambil keputusan segera memecat serta merta Govinthiran a/l Gunasegaran sebagai anggota parti.

“Begitu juga ada insiden di Seberang Jaya Pulau Pinang, kerusi dibaling dan kita akan mengenalpasti namanya untuk dipecat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Biro Politik di Ibu Pejabat KEADILAN di sini, malam tadi.

Anwar turut mengeluarkan amaran keras kepada mana-mana pimpinan parti yang masih memberikan sokongan kepada dua individu terbabit.

Anwar berkata, selain memberi sokongan kepada dua individu terbabit, Biro Politik turut memberi amaran kepada wakil rakyat yang bertindak menceroboh kawasan larangan.

Katanya, perbuatan itu boleh menyebabkan wakil rakyat terbabit dikenakan tindakan digantung keahlian serta merta.

“Peringatan yang lebih kepada pengawal dan amaran keras kepada semua pimpinan termasuk wakil rakyat kerana ada wakil rakyat merasakan mereka ada sijil untuk melanggar masuk kawasan larangan,” katanya.


Pengarang :