SELANGOR

Penduduk harap sampah haram Taman Damai diatasi segera

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 7 SEPT: Penduduk berharap masalah longgokan sampah di tapak pembuangan haram di Damai Utama 7, Taman Damai, Subang Jaya, diatasi segera.

Ini kerana masalah itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk sekitarnya yang terpaksa menghidu bau busuk akibat pembuangan sampah dalam skala besar.

Seorang pengguna laman sosial dikenali sebagai Zaimi, dipercayai penduduk di kawasan itu memberi reaksi positif terhadap tindakan Exco Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa menjalankan tinjauan serta siasatan di situ, hari ini.

“Terima kasih semua kerana menjalankan pemeriksaan. Kawasan persekitaran terutama sebelah malam berbau busuk.

“Tak pasti sama ada dari tempat pembuangan sampah ini atau dari logi rawatan berhampiran. Masalah lalat yang agak banyak,” luahnya melalui akaun twitternya, @ahmadzaimi.

Terdahulu, Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baharu, Ng Sze Han bersama petugas Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Pejabat Daerah Petaling meninjau lokasi yang tercemar dengan longgokkan sampah haram.

Tinjauan mendapati sejumlah sampah dibuang hingga memasuki dan mengotorkan tasik di kawasan itu.

“Tindakan dilakukan setelah MPSJ menerima aduan penduduk sekitar kawasan itu lebih kurang dua minggu lalu.

“Siasatan dijalankan MPSJ dan Pejabat Daerah Petaling dengan notis serta amaran diberikan kepada pemilik tanah.

“Jika tiada tindakan, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak merampas kawasan tanah ini,” katanya.

Pemilih tanah, sebuah syarikat pemaju dan seorang individu dikenakan kompaun RM25,000 setiap satu dua minggu lalu ekoran kesalahan itu serta operasi pembersihan dikatakan akan dijalankan selepas ini.

Difahamkan pemilik tanah sudah memohon kebenaran MPSJ bagi tujuan pembangunan kawasan seluas kira-kira empat ekar itu.

 

.

 


Pengarang :