SELANGOR

Penduduk Selangor masih boleh kawal tekanan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 14 SEPT: Penduduk di Selangor dilihat masih boleh mengawal tekanan yang membawa kepada penyakit mental, kata EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Katanya, ia dilihat melalui kedudukan kelima Selangor menerusi carta masalah kesihatan mental yang dilaporkan ‘Public Health Malaysia’, baru-baru ini.

“Pada awalnya saya ingatkan Selangor akan berada pada kedudukan pertama, namun kajian itu mendapati Selangor berada di bawah Sabah, Sarawak dan Kelantan.

“Ini menunjukkan penduduk di negeri ini masih mampu mengawal tekanan mereka walaupun hidup dalam kota yang penuh cabaran dengan ada yang setiap hari melalui jalan raya sesak dan kos kehidupan seharian tinggi, berbanding di luar bandar.

“Melalui kajian ini, jelas menunjukkan masalah tekanan yang membawa kepada penyakit mental ini masih boleh dikawal diri sendiri,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kajian carta masalah kesihatan mental yang dikeluarkan menerusi laman sosial ‘Public Health Malaysia’.

Menerusi carta itu, Sabah dan Wilayah Labuan menduduki tempat pertama dengan kadar 42.9 peratus, Kuala Lumpur (kedua) dengan 39.8%, Kelantan (ketiga) dengan 39.1%.

Manakala Sarawak 35.8% diikuti Selangor pada kadar 29.3%, manakala Perak berada pada kedudukan terendah iaitu 17%.

Pada masa sama, Siti Mariah berkata, masalah kesihatan mental bukan lagi perkara yang boleh dipandang ringan.

“Harus diingat, masalah kesihatan mental tidak semata-mata bermaksud seseorang yang merayau mengutip sampah, bercakap seorang diri dan lain-lain.

“Terdapat banyak lagi masalah mental yang dihidapi seseorang tetapi mereka kelihatan normal tetapi tiada istilah sihat jika kesihatan mentalnya terabai, sihat bermaksud sihat dari segi fizikal dan mental.

“Saya juga ingin nasihatkan mereka yang tidak dapat mengawal masalah tekanan mental ini segera berjumpa pihak sepatutnya,” katanya.


Pengarang :