SELANGOR

Penduduk Sepang terima RM1.49 juta menerusi IPR

OLEH NORHAYATI UMOR

SEPANG, 14 SEPT: Sejumlah RM1.49 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri kepada 545 penerima Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) bagi daerah Sepang.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, bantuan itu diberikan kepada rakyat tanpa membiarkan mereka bergantung sepenuhnya kepada kerajaan.

Katanya, walaupun berdepan tohmahan dan tanggapan negatif pada permulaan pelaksanaannya, namun pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri kekal kukuh.

“Dalam tempoh tiga tahun ini, Kerajaan Negeri mengadakan pelbagai jenis bantuan IPR supaya rakyat bersama membangunkan ekonomi di samping kerajaan tidak lalai melaksanakan tanggungjawab.

“Kerajaan Negeri percaya penduduk Selangor mampu membangunkan negeri dengan bantuan yang disalurkan ini,” katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan IPR, di Dewan Kampung Hulu Chuchoh, di sini.

Bantuan itu disalurkan menerusi skim mikrokredit Hijrah, Skim Peduli Sihat, Kasih Ibu Smart Selangor, Insentif Perkahwinan Belia, Blueprint, Dana Usahawan Mikro Selangor, Bantuan Nelayan, Skim Mesra Usia Emas, Argoprenuer pertenakan, tabung bantuan segera dan bantuan perumahan nelayan.

Pada majlis sama, Amirudin turut merasmikan dewan orang ramai berkenaan yang dinaik taraf Majlis Perbandaran Sepang dengan peruntukan RM500,000.

Katanya, Kerajaan Negeri juga akan menambah penghawa dingin untuk dewan berkenaan, pada tahun hadapan.

Kampung Hulu Chuchoh yang wujud kira-kira 100 tahun lalu bermaksud berbalah yang diambil daripada bahasa orang asal.

Sehingga kini, seramai 8,000 penduduk menetap di kampung itu, termasuk 771 orang asal.


Pengarang :