SELANGOR

Pengambilalihan SPLASH, penstrukturan air manfaatkan Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah teruja apabila Kerajaan Negeri berjaya memuktamadkan penstrukturan industri bekalan air dengan pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

Baginda bertitah, pengambil alihan dilakukan melalui Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dengan nilai RM2.55 bilion menandakan operasi penstrukturan semula itu dapat dilakukan bagi pembekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Beta difahamkan dengan berakhirnya rundingan pengambilalihan SPLASH pada 3 Ogos lalu, Kerajaan Negeri melalui Air Selangor mengemukakan surat tawaran pengambil alihan kepada wakil pemegang saham SPLASH dengan nilai RM2.55 bilion setelah ditolak diskaun 28 peratus berdasarkan NBV SPLASH, pada 30 Jun lalu.

“Pengambilalihan tidak membabitkan peruntukan kewangan dari dana Kerajaan Negeri distrukturkan dengan pembayaran secara jangka panjang.

“Beta berkenan apabila Air Selangor dapat beroperasi dengan tahap perbelanjaan kos operasi munasabah yang sekali gus dapat memastikan kadar tarif air tidak membebankan rakyat di Selangor,” titahnya.

Sultan Selangor bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Keempat Belas 2018, di sini, hari ini.

Beginda bertitah, pengambilalihan SPLASH itu juga menjadikan Air Selangor sebagai syarikat tunggal memproses, merawat dan mengagihkan air terawat kepada seluruh pengguna di Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya.


Pengarang :