SELANGOR

Pengusaha kilang haram digesa patuh arahan

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LANGAT, 23 SEPT Kesemua pengusaha kilang haram di daerah ini diingatkan supaya mengikut peraturan yang ditetapkan jika tidak mahu premis mereka diarahkan tutup.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Banting, Lau Weng San berkata, malah pemilik juga boleh berdepan tindakan mesin disita oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, bagi mengatasi masalah terbabit, Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bekerjasama dengan Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Setakat ini mereka sudah tiga kali mengadakan operasi bagi memastikan aktiviti pengusaha kilang terbabit mengikut undang-undang.

“Antara tindakan diambil ialah, jika kilang berkenaan tidak boleh melupuskan bahan plastik maka kita perlu merujuk operator terbabit kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang turut serta dalam operasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau operasi kilang-kilang bahan kitar semula haram di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Banting, baru-baru ini.

Weng San berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Air Selangor juga akan bertindak memutuskan bekalan elektrik dan air bagi memastikan pengusaha beroperasi mengikut lunas-lunas perundangan Persekutuan dan kerajaan tempatan.

Pada masa sama, beliau berkata, pada operasi itu, tiga daripada 11 kilang yang diserbu, 16 pendatang asing tanpa izin yang menyalahi peraturan imigresen diberkas dan bakal dihantar ke depoh Jabatan Imigresen di Semenyih untuk tindakan lanjut.

 


Pengarang :