SASTERA

Penulis diaspora: Bukan sekadar cerita

Oleh Nazreen Coklat

Diaspora umumnya merujuk bangsa yang terpisah dari wilayah asalnya, bertaburan di tempat lain tetapi masih lagi memelihara identiti asal mereka. Masyarakat diaspora mempunyai corak kehidupan tersendiri dan agak unik jika difahami dalam bentuk penulisan sastera. Pengarang diaspora sering kali menghasilkan karya berdasarkan pemerhatian dan perasaan terhadap iklim yang wujud di dua tempat iaitu tempat asal dan tempat baharu atau lokasi penghijrahan. Karya yang memperlihatkan tempat asal atau tanah air sering berkaitan dengan keagungan dan kehebatan ketamadunannya serta bauan ingatan lampau yang mengusik kerinduannya terhadap tempat asal. Di tempat baharu, pengarang lebih menjurus kepada persoalan rintangan dan cabaran apabila berada di perantauan. Latar persoalan juga sebenarnya bergantung pada tahap generasi diaspora melihat persekitaran. Generasi pertama diaspora sering kali melihat isu yang berkaitan tarikan ekonomi manakala generasi terkemudian lebih terarah kepada isu-isu kerakyatan dan kelangsungan pengekalan identiti dan budaya.

Misalnya, ia boleh diteliti dalam kumpulan cerpen berjudul Cerpen-Cerpen Bangsa Patani karya Isma Ae Mohamad. Sebagai pengarang muda kelahiran Patani yang menulis dalam bahasa Melayu, cerpen beliau kelihatan amat terkesan dengan konflik yang berlaku di Selatan Thai. Beliau kini telah menetap di Malaysia. Penghijrahannya merupakan suatu proses kehidupan diaspora lalu dialirkan pengalaman itu melalui pena dan persuratan. Karya beliau wajar untuk difahami berdasarkan pengalaman hidupnya sebagai penulis Melayu Patani diaspora.

Diaspora masyarakat Melayu Patani ke Malaysia sebenarnya bersifat sukarela dan terpaksa. Sukarela kerana faktor individu itu sendiri yang membawa diri untuk berpindah ke tempat lain manakala terpaksa pula merujuk keadaan tertentu seperti tekanan politik oleh pihak pemerintah dan desakan ekonomi yang memaksa mereka untuk berhijrah. Perihal ini ada dijelmakan dalam cerpen Rindu Cerita Nenek, penghijrahan watak “ayah” ke tanah sempadan berlaku atas sebab masalah politik berkaitan perjuangan kemerdekaan terhadap pihak pemerintah.

Selain itu, faktor ekonomi turut menjadi dorongan kepada masyarakat Melayu Patani melakukan diaspora ke negara bangsa serumpun di sempadan demi mencari kehidupan yang lebih baik dan sejahtera. Dalam cerpen Ke Negeri Impian,  watak “ayah” digambarkan tekad mahu berhijrah ke Malaysia meskipun dipujuk oleh kakaknya untuk kekal tinggal di Patani. Keadaan itu berlaku kerana pembangunan ekonomi di Patani atau Selatan Thai tidak serancak seperti bahagian Utara Thailand kerana pergolakan senjata yang sentiasa berlaku. Akibatnya, tidak wujudnya pelbagai tawaran pekerjaan terhadap masyarakat Melayu Patani terutama bagi generasi muda atau belia yang berkelulusan tinggi dalam pendidikan. Maka, mereka terus berada dalam keadaan mundur dan sentiasa melihat Malaysia sebagai “negeri impian” yang mampu mengubah taraf ekonomi dan hidup mereka.

Setelah melakukan diaspora, masyarakat Melayu Patani seperti umat diaspora lain, hidup dalam situasi tertentu. Misalnya, pengalaman diaspora oleh generasi pertama akan sentiasa diingatkan kepada generasi kemudian agar diambil sebagai iktibar. Malah, generasi terkemudian juga diajar untuk tidak melupakan sejarah asal-usul mereka. Watak “aku” dalam cerpen Perjalanan ke Sebelah Sana misalnya, diingatkan tentang asal-usul dan bangsanya oleh neneknya.

Bila berada di tempat baharu, seseorang diaspora akan mula terkenang akan tanah airnya terutama berkaitan kegemilangan, kecemerlangan dan keunggulan ketamadunan lampaunya. Penghijrah akan menoleh ke belakang dan menghargai sejarah silam bangsanya dan secara tidak langsung menambahkan keyakinan tentang asal usulnya serta diri mereka. Patani memiliki sejarah peradaban yang tinggi, dengan kemuncaknya ketika zaman pemerintahan Ratu-ratu Patani, iaitu Ratu Hijau, Ratu Biru, Ratu Ungu dan Ratu Kuning. Isma Ae Mohamad tidak terkecuali daripada mengingati sejarah kehebatan bangsanya ini. Misalnya, telah dinukilkan dalam cerpen Perjalanan ke Sebelah Sana akan kehebatan ratu-ratu tersebut.

Di Malaysia, masyarakat Melayu Patani tidak menghadapi sebarang masalah dalam mengekalkan identiti mereka daripada diasimilasi budaya secara paksaan atau sebagainya. Namun, kelompok ini kebiasaannya mempunyai masalah dalam proses pembinaan identiti baharu yang berasakan identiti asal Melayu Patani. Hal ini kerana mereka dipandang serong oleh masyarakat tempatan atas sebab-sebab tertentu. Misalnya, wujudnya status pendatang atau pelarian politik/ ekonomi/ sosial kepada mereka, tidak pandai bercakap dalam bahasa Melayu Malaysia, dianggap sedikit mundur, kurang mahir berbahasa Inggeris dan lain-lain lagi. Situasi itu membawa kepada sifat rendah diri dan kurang keyakinan kepada masyarakat Melayu Patani diaspora. Resah perasaan tersebut dinukilkan dalam cerpen Ke Negeri Impian apabila watak ibu menasihati anak untuk menggunakan dialek Melayu Kelantan dan bukannya Patani. Dialek Melayu Patani jika digunakan di sini akan menyebabkan mereka dipandang rendah. Dialek Melayu Kelantan harus digunakan agar dapat meletakkan diri setaraf dengan masyarakat tempatan. Keadaan itu secara tidak langsung menyebabkan masyarakat Melayu Patani merasakan diri mereka sebagai orang Melayu kelas kedua.

Orang Patani diaspora bukan sahaja mengalami masalah dipandang serong oleh masyarakat setempat, malah mereka menganggap diri sebagai mangsa diskriminasi. Hal ini merumitkan lagi persoalan identiti dalam diri mereka terutama generasi muda yang mahukan layanan sama seperti diperoleh oleh rakyat Malaysia. Persoalan inilah yang dihadapi oleh seorang watak dalam cerpen Ke Negeri Impian yang mahu menduduki SPM walaupun tidak dibenarkan oleh guru.

Dalam pencarian identiti, semangat kebangsaan turut bermain dalam jiwa raga masyarakat Melayu Patani diaspora. Kebiasaannya, generasi pertama diaspora tidak mementingkan semangat kebangsaan di tempat baharu kerana penghijrahannya bermatlamatkan pencarian hidup yang lebih baik. Golongan ini lebih peka terhadap “semangat” budaya yang berkiblatkan negeri Patani. Namun, semangat ini berbeza kepada generasi diaspora terkemudian. Generasi ini telah menganggap Malaysia sebagai tanah airnya jua. Mereka hanya dilahirkan di Patani tetapi dibesarkan di Malaysia dan ada juga yang lahir di Malaysia. Faktor persekitaran telah merubah pandangan dunianya. Dilema akan semangat kebangsaan ini ada diungkapkan Isma Ae Mohamad melalui watak “aku” dalam cerpen Ke Negeri Impian.

Karya Isma Ae Mohamad sememangnya sangat berkait rapat dengan pengalaman beliau sebagai manusia diaspora. Rangkuman keseluruhan cerpen memperlihatkan pandangan orang diaspora dari Patani tentang masa lalu dan masa kini kehidupan mereka. Isma Ae Mohamad berjaya memaknakan penulisan sastera melalui pengalaman diaspora. Sastera itu sememangnya lebih daripada sekadar cerita.


Pengarang :