SELANGOR

Penyelesaian isu rakyat dan kemudahan jadi keutamaan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

HULU LANGAT, 6 SEPT: Beberapa pelan agenda bertindak digariskan bagi menyelesaikan isu banjir, lalu lintas dan kemudahan awam secara komprehensif demi kesejahteraan rakyat, khususnya di daerah Hulu Langat.

Ahli Dewan Negeri Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof berkata, buat masa ini tumpuan utama terarah kepada fasa penyelesaian masalah penduduk di kawasan terbabit bagi memastikan isu membelengu rakyat itu dapat diatasi.

“Sepanjang fasa ini, saya mahu mengatasi sebanyak mungkin masalah membelenggu rakyat di kawasan sekitar ini, selaras dengan janji semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

“Contohnya, masalah banjir yang datang agak bermusim sehingga menjejaskan penduduk, sedang dilihat dan diusahakan secara lebih terperinci bagi meminimumkan kesan buruknya itu. Jadi, banyak projek perlu dilaksanakan seperti Rancangan Tebatan Banjir Fasa kedua.

“Pada masa sama, saya dalam tindakan untuk mengetengahkan isu ni ke pihak kementerian dan memastikan penyelesaian tuntas terhadap masalah terbabit,” katanya ketika ditemui SelangorKini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Edry berkata, masalah lalu lintas juga diperhalusi bagi mengurangkan kesesakan jalan raya di sekitar kawasan berkenaan.

Katanya, perkara itu sudah dibawa ke Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk tindakan susulan.

“Saya masih mencuba pelbagai jalan penyelesaian terhadap perkara lama yang dibangkitkan, tetapi masih tetap berlaku. Saya melihat daripada semua sudut pandang kenapa masih berlaku, contohnya kalau ada penguatkuasaan, kenapa ia gagal dan tidak berjaya serta apa tindakan selanjutnya perlu dijalankan.

“Apabila semua masalah lama selesai, maka kita boleh bergerak untuk perancangan dan perubahan seterusnya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memberi jaminan kepada penduduk DUN Dusun Tua untuk mengatasi masalah lain yang timbul termasuk isu lori, perumahan dan pembangunan infrastruktur.

 


Pengarang :