SELANGOR

Perkasa potensi usahawan makro

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 5 SEPT: Kerajaan Negeri komited akan memperkasakan lagi potensi usahawan makro di Selangor supaya lebih dikenali di peringkat antarabangsa, kata EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail.

Beliau berkata, sebanyak RM1.8 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri khususnya untuk mempromosikan produk yang dikenal pasti boleh dibangunkan lagi sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Antara program untuk mempromosikan produk yang sedia ada kita mahu jenama atau program ini dijenamakan sebagai ‘Made in Selangor’ supaya apabila ada tanda itu kita dapat memasuki pasaran ‘hypermarket’ sedia ada seperti sebelum ini, kita sudah pun mempromosi selama enam bulan letak di Pasaraya Giant.

“Pada tahun ini, Kerajaan Negeri merancang mahu memasarkan produk usahawan makro itu ke luar Selangor selain menggalakan mereka memasuki expo antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab hari ketiga Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Sementara itu, Rodziah berkata, Kerajaan Negeri berhasrat akan membudayakan konsep ‘e-marketing’ dalam kalangan usahawan makro itu supaya ramai akan lebih mengenali produk usahawan tersebut.

“Kita akan berusaha membangunkan aplikasi usahawan itu dimana Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) akan memulakan langkah supaya pengusaha ini boleh memaklumkan jenis-jenis kerepek yang mereka ada, malah kita juga akan sediakan satu kilang khas untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan untuk proses ‘packaging’ secara holistik.

“E-Marketing ini juga akan dibantu oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), malah ia selari dengan Kerajaan Negeri yang mengamalkan konsep ‘Smart Selangor’,”katanya.


Pengarang :