SELANGOR

Pertandingan Worldskills Malaysia latih belia kuasai bidang kemahiran

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 30 SEPT: Pertandingan Worldskills Malaysia menjadi medan terbaik bagi melatih belia mahupun tenaga pengajar menguasai sesuatu bidang kemahiran secara komprehensif.

Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Nidzam Kamarulzaman berkata, program yang dahulunya dikenali sebagai Pertandingan Johan Kemahiran Malaysia (PJKM) itu dapat mencungkil bakat baharu berpotensi untuk mewakili negara ke pertandingan peringkat antarabangsa.

Katanya, pembabitan golongan belia khususnya dalam PKM itu membolehkan mereka untuk dipilih menyertai ke Asean Competition (ASC), seterusnya ke peringkat Worldskills Competition (WSC).

“Ia dijadikan penanda aras terhadap pengetahuan dan kemahiran jurulatih serta pakar yang telah dilantik dalam usaha negara untuk meraih pingat di pertandingan kemahiran peringkat ASEAN dan dunia.

“Penganjuran ini turut menjadi landasan kepada belia dari seluruh negara yang berbakat dan berkemahiran tinggi untuk digilap serta diberi nilai tambah supaya lebih berdaya tahan bagi memenuhi keperluan Revolusi Perindustrian 4.0 atau IR4.0,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pada sidang media Majlis Perasmian Karnival Skills Malaysia Sempena Pertandingan Akhir World Skills Malaysi 2018, di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Pembangunan Kemahiran, Suimi Abdul Majid dan Pengarah CIAST, Dr Mohamad Sulaiman.

Ketika ditanya mengenai Fenonema Industri 4.0 memberi kesan terhadap sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET), Nidzam berkata, TVET didesak untuk berubah dengan penemuan pelbagai teknologi baharu.

Katanya, ia termasuk dengan penggunaan automasi, analisis dan big data, simulasi, integrasi sistem, penggunaan ‘robotic’, ‘cloud’ dan Internet of Things (IoT).

“Ini memberi cabaran baharu kepada semua sektor di negara ini termasuk bidang kemahiran yang memerlukan perubahan seiring transformasi digital untuk kekal berdaya saing.

“Cabaran ini menuntut semua pihak termasuk tenaga pengajar dan belia berdepan cabaran Revolusi Industri 4.0 serta mempersiapkan diri untuk keluar daripada kebiasaan,” katanya.

Terdahulu, pertandingan terbabit menyaksikan sebanyak 27 bidang dipertandingkan bagi kategori Belia (WSMB), manakala enam bidang bagi kategori Pengajar (WSMP).

Daripada 27 bidang tebabit, 18 bidang di bawah tanggungjawab Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan sembilan di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR).

Inisiatif menganjurkan pertandingan kemahiran itu adalah cetusan idea Perdana Menteri keempat pada ketika itu, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad

Pertandingan Kemahiran pertama diadakan pada waktu itu adalah di Changkat Pavillion, Kuala Lumpur pada 3 hingga 5 Jun 1990.


Pengarang :