NASIONAL

Perubahan dilaksana Kerajaan PAKATAN penuhi aspirasi rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 2 SEPT: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) tidak melaksanakan perubahan semata-mata mahu kelihatan berbeza daripada kepimpinan kerajaan terdahulu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, PAKATAN tidak mahu memasuki medan pertandingan untuk memperlihatkan siapa jaguh dan mendapat kejuaraan.

Sebaliknya, beliau berkata, perubahan itu adalah tindakan sememangnya perlu demi memastikan hasrat rakyat dan aspirasi kerajaan dapat dilaksanakan.

“Kita tidak merebut gelaran juara, akan tetapi sumbangannya hampa, tidak dapat dirasai dan dinikmati rakyat. Ia adalah transformasi palsu yang tidak membawa erti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pelan Tiga Tahun Program dan Modul Transformasi Qaryah Malaysia di Geno Hotel, di sini, malam tadi.

Sehubungan itu, Dr Wan Azizah berkata, menjadi keutamaan kerajaan hari ini untuk memberi tumpuan kepada pemberdayaan dan pembelaan nasib wanita, pembangunan menyeluruh dalam institusi keluarga, keselamatan dan hak kakak-kanak.

“Tumpuan ini selari dengan khutbah wada’ yang disampaikan Baginda Rasulullah SAW ketika haji perpisahan pada Tahun 10 Hijrah.

“Baginda memilih untuk menekankan isu hak wanita. Baginda melihat berlaku pengabaian dan penganiyaan berlaku. Sedangkan kegoyahan dalam institusi akan menyebabkan kelemahan dalam struktur teras sesebuah negara dan gejala negatif,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat adalah bersifat spiritual walaupun memerlukan sumbangan dari sisi materialnya.

“Negara maju yang tidak diterajui oleh umat Islam juga menunjukkan usaha yang padu dalam pembangunan wanita.

“Contohnya, berdasarkan Indeks Pembangunan Manusia (HDI) negara Islam berada di kedudukan ke 30 terbaik dan Malaysia di tangga ke 59 pada 2016.

“Masyarakat yang punya jiwa yang tenang dan pemikiran yang tulus mampu menggerakkan agenda negara secara mandiri,” katanya.


Pengarang :