SELANGOR

Peruntukan RM400,000 tambah baik Taman Tasik Seri Gombak

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

GOMBAK, 17 SEPT: Sejumlah RM400,000 diperuntukkan Kerajaan Negeri kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam usaha menambahbaik dan menaiktaraf kemudahan di Taman Tasik Seri Gombak, di sini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berkata, peruntukan yang sudah diluluskan itu bagi memastikan taman rekreasi berkenaan berwajah baharu, sekali gus memberi keselesaan kepada orang ramai khususnya komuniti setempat.

Katanya, komitmen menaiktaraf tasik dengan pelbagai prasarana dan kemudahan riadah serta kehijauan flora fauna turut bertujuan membina sebuah masyarakat yang sihat juga produktif.

“Kita melihat sedikit keuzuran terdapat di tasik ini terutama sistem pembentungan dan pengaliran airnya yang tidak berjalan dengan begitu baik.

“Pada masa sama, pelaksanaannya juga sudah tentu memberi kemaslahatan kepada masyarakat kerana dengan ada pembaharuan ini, pelbagai program bersama masyarakat akan dapat dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Merdeka Sihat 2018, di Taman Tasik Seri Gombak, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan acara pelepasan larian FunRun yang dijayakan lebih 800 peserta terdiri daripada orang ramai di sekitar ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Hilman berkata, projek penaiktarafan yang memasuki fasa ketiga itu dijangka bakal bermula pada tahun hadapan.

Katanya, MPS juga sedang melakukan proses yang sepatutnya bagi menggerakkan projek itu.

“Fasa ini paling penting kerana ia melibatkan perubahan semasa tasik. Jadi naik taraf ini termasuk kemudahan laluan pejalan kaki.

“Bagaimanapun, ada juga prasarana lain yang akan dibangunkan kepada masyarakat untuk mereka melakukan aktiviti riadah dan seumpamanya,” katanya.


Pengarang :