GLOBAL

Pesawat tentera AS paling mahal dan ‘canggih’ terhempas

LONDON 30 SEPT: Pesawat pejuang tentera paling besar dan termahal di dunia iaitu F-35 milik tentera Amerika Syarikat (AS) dilaporkan terhempas buat pertama kali dalam satu kejadian di South Carolina, kelmarin.

Lapor Berita Antarabangsa BBC NEWS, juruterbang berjaya melepaskan diri dan tiada yang tercedera.

Tentera laut AS dalam satu kenyataan berkata, punca kemalangan masih lagi dalam siasatan.

Jet yang terlibat dalam insiden tersebut dipercayai menelan belanja AS$100 juta (RM413 juta), walaupun Pentagon mengumumkan kontrak bagi 141 pesawat F-35 telah diturunkan kos kepada AS$89.2 juta (RM343 juta) bagi sebuah pesawat, menurut Reuters.

Model pesawat itu adalah salah satu daripada tiga jenis F-35 dalam operasi.

Foto Sumber: SKY NEWS

Khamis lalu, AS menjalankan operasi pertamanya menggunakan F-35B dengan menyasarkan kepada Taliban di Afghanistan, empat bulan selepas tentera Israel mengumumkan telah menggunakan F-35A untuk melakukan dua serangan berasingan.

Presiden AS, Donald Trump sebelum ini berulang kali memuji F-35, mengatakan musuh ‘tidak dapat melihatnya’.

Walaupun pesawat itu ‘tidak dapat dilihat’, syarikat aeroangkasa, pertahanan dan teknologi termaju Amerika Syarikat (AS), Lockheed Martin berkata, teknologi memboleh­kan pesawat untuk mengelakkan daripada dikesan radar.

 


Pengarang :