NASIONALRENCANA

Pidato Anwar sarat mesej bina Malaysia Baharu

OLEH NAZLI IBRAHIM

KOMENTAR: Masa 40 minit pidato tokoh reformasi dan pemikir seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan tajuk Malaysia Baharu Ke Arah Memperkukuhkan Negara Bangsa bagaikan tidak mencukupi.

Pidato beliau pada program Syarahan Negarawan 2018 itu bukan sahaja sarat dengan mesej membina Malaysia Baharu dengan nilai murni, malahan menyentuh pelbagai aspek khasnya isu kedudukan Bahasa Melayu sendiri.

Keadaan ini menjelaskan bahawa bukanlah satu suatu yang menghairankan apabila seorang tokoh ilmuan seperti Anwar menerima banyak undangan untuk menyampaikan ceramah dalam pelbagai forum atau majlis ilmu antarabangsa.

Bahkan, pusat ilmuan antarabangsa seperti Universiti Georgetown di Amerika Syarikat misalnya, tidak teragak-agak menjemput Anwar sebagai pensyarah jemputan di sana.

Seperti biasa, pidato Anwar yang banyak mengandungi mesej yang tersurat dan tersirat sudah semestinya menuntut 100 peratus fokus audien untuk menghadamkan mesej yang disampaikan.

Pengerusi Lembaga Pengelola DPB, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom sendiri dalam ucapan aluannya sempat mengimbau kembali kenangan di zaman remaja apabila kali pertama mengikuti pidato Anwar di Maktab Melayu Kuala Kangsar.

“Ketika itu saya berada di dalam tingkatan enam, pada masa itu agak sukar untuk saya memahami pidato Anwar,” katanya.

Pidato Anwar dimulakan dengan komen ringkas beliau terhadap perkataan ‘negarawan’ yang digunakan pada nama program ini.

“Saya beritahu pihak DBP bahawa saya tidak setuju dengan perkataan negarawan, tetapi nampaknya DBP tidak menukarnya mungkin kesuntukan masa,” katanya.

 

Anwar yang dibebaskan daripada Penjara Sungai Buloh pada Mei lalu berkata, antara hikmah pemenjaraan beliau ialah beliau dapat meluangkan banyak masa untuk membaca pelbagai buku.

“Inilah salah satu hikmah saya dipenjara, saya sempat baca ribuan buku,” katanya.

Sebagai seorang yang banyak melalui terlalu banyak pengalaman pahit maung dalam perjuangan politiknya, sudah tentu Anwar begitu memahami keperluan sebuah negara yang baru melalui fasa peralihan seperti mana dilalui negara pada 9 Mei lalu.

Perkasakan Bahasa Melayu

Antara perkara penting yang disentuh Anwar dalam pidatonya, beliau mengulangi kepentingan untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Anwar turut sempat menempelak, sesetengah Ahli Parlimen yang lemah penguasaan Bahasa Melayu.

Selain itu, Anwar turut menyarankan masyarakat negara ini turut belajar menguasai bahasa penting dunia lain di samping berusaha memartabatkan Bahasa Melayu.

Katanya, selain Bahasa Inggeris, masyarakat juga wajar mempelajari bahasa lain seperti Bahasa Mandarin berikutan bahasa itu semakin mendapat tempat sebagai bahasa ekonomi khasnya di rantau Asia.

Apabila menyentuh fasa perubahan yang dilalui negara pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Anwar menegaskan tidak semua perkara perlu berubah.

Ujar beliau, masih terdapat banyak budaya positif yang boleh dikekalkan rakyat pasca Malaysia Baharu ini.

Terlalu kemelayuan dan Islamik?

Ketika menjawab tuduhan liar golongan disifatkannya sebagai ‘super liberal’ dengan dakwaan bahawa beliau terlalu kemelayuan dan Islamik, Anwar berkata perkara itu bukan sahaja tidak menjadi isu baginya, malah selesa dengan prinsip perjuangannya.

Ketika menjawab soalan seorang audien, Anwar menjelaskan kedudukan Raja Melayu akan dipelihara selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, perkara itu dijelaskan sudah beliau jelaskan kepada Raja-Raja Melayu yang dikunjunginya selepas Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan baru selepas PRU14 lalu.

“Perkara itu sudah pun dipersetujui dan ditandatangani pemimpin-pemimpin parti Pakatan Harapan (PAKATAN) untuk pertahankan perlembagaan sebelum pilihan raya lagi,” katanya lagi.

 


Pengarang :