EKONOMINASIONAL

PKS digesa manfaat dana PKS BNM berbaki RM3.9 bilion

PUTRAJAYA, 25 SEPT: Menteri Kewangan Lim Guan Eng menggesa Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk memanfaatkan dana PKS Bank Negara Malaysia (BNM) yang masih berbaki RM3.9 bilion ketika ini.

Mengulas aduan disuarakan PKS mengenai kesukaran mendapatkan pinjaman, katanya, mereka boleh berhubung terus dengan BNM yang sentiasa sedia untuk membantu sekiranya mengalami masalah seperti tiada cagaran dan sebagainya.

“BNM ada Penolong Gabenor yang khas menguruskan dana PKS ini…jadi tiada sebab mengapa susah untuk PKS mendapatkan pinjaman.

“PKS yang ada masalah dengan bank, boleh hubungi BNM untuk membuat aduan dan kita benar-benar hendak bantu PKS dan kita mahu dana ini dipinjamkan kepada PKS,” kata Lim pada satu sidang media, di sini, hari ini.

Sementara itu, Penolong Gabenor BNM Abu Hassan Alshari Yahaya berkata daripada keseluruhan dana PKS yang berjumlah RM3.9 bilion itu, sebanyak RM3.3 bilion diperuntukkan untuk PKS dalam semua sektor ekonomi, Projek Usahawan Bumiputera Fund-i (RM191.4 juta), Sektor Pertanian Primer (RM97.9 juta) dan perusahaan mikro (RM6.9 juta).

“Kita akan sentiasa cuba permudahkan sebagai satu daripada usaha kita untuk memastikan mereka yang berdaya saing akan terus mendapat pinjaman,” katanya pada sidang media yang sama.

Abu Hassan berkata BNM akan cuba melihat isu-isu yang dihadapi oleh PKS secara terperinci seperti operasi perniagaan dan daya saing menjalankan perniagaan.

Dana PKS BNM yang merupakan dana pusingan mudah dan mampu dimiliki oleh PKS, diperkenalkan pada akhir 1990-an dengan jumlah peruntukan sebanyak RM10.4 bilion.

Dana itu yang disediakan di semua bank perdagangan dan bank Islam, institusi kewangan pembangunan (IKP) dan juga Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) menyediakan bantuan kewangan sehingga RM5 juta dan PKS dikehendaki membayar balik dalam tempoh lima tahun.

Bagi PKS yang ingin mendapatkan pinjaman atau membuat aduan boleh menghubungi BNM di talian 03-26988044 (samb 7986) atau 03-26919335, telefon bimbit 019-2821015 atau emel ke [email protected].

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :