NASIONAL

Polis: Hati-hati penipuan sebagai pewaris harta dari luar negara

KUALA LUMPUR, 25 SEPT: Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah mempercayai sebarang e-mel menyatakan mereka sebagai pewaris harta kepada seseorang yang tidak dikenali.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kenyataan hari ini, berkata e-mel itu mungkin melibatkan sindiket penipuan yang sedang mencari mangsanya.

Kenyataan itu menyebut antara modus operandi dikenal pasti digunakan sindiket tersebut adalah dengan memaklumkan bahawa mangsa dikesan sebagai pewaris untuk menerima harta pusaka peninggalan seseorang yang sudah meninggal dunia.

“Harta tersebut biasanya berada di luar negara. Beberapa dokumen sokongan daripada jabatan kerajaan tertentu, badan kehakiman, mahkamah, Bank Negara Malaysia dan sebagainya disertakan untuk meyakinkan mangsa.

“Mangsa sama ada rakyat Malaysia sendiri atau yang berada di luar negara kononnya datuk atau moyang mereka pernah sewaktu ketika dulu berada di Malaysia dan merupakan hartawan yang tidak mempunyai waris selepas kematiannya,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, PDRM berkata dalam kes sedemikian, suspek akan mengenakan bayaran untuk menguruskan perpindahan wang tersebut kepada mangsa.

“Mangsa berasa tertipu apabila mendapati harta dijanjikan tidak diperoleh dan individu yang berperanan sebagai orang tengah menghilangkan diri,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, PDRM menasihatkan orang ramai supaya mengabaikan e-mel atau mesej yang memaklumkan perkara berkenaan.

“Jangan sesekali memindahkan wang kepada sesiapa yang tidak dikenali melalui internet dan segera melaporkan kepada PDRM jika anda menjadi mangsa sindiket seumpama itu,” menurut kenyataan tersebut.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :