NASIONAL

Polis keluarkan lima tips beli barang online

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 SEPT: Orang ramai yang suka memberi barang melalui sistem online boleh menggunakan lima tips yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jurucakap PDRM berkata, pertama, pengguna diingatkan supaya tidak melakukan pemindahan wang jika merasa ragu-ragu dengan penjual atau sekiranya penjual tergesa-gesa meminta wang.

Kedua, orang ramai perlu melakukan pemeriksaan terhadap profil penjual terlebih dahulu sebelum membuat sebarang urusan jual beli.

“PDRM juga ingin mengingatkan pengguna supaya berhubung dengan penjual terlebih dahulu. Perkara ini sekaligus membuktikan bahawa penjual tersebut betul-betul wujud dan mengelakkan sebarang permasalahan kelak.

“Keempat, rujuk dahulu testimoni dan maklum balas dari pembeli-pembeli sebelum ini. Rujuk juga peniaga lain yang menawarkan barangan yang sama bagi mendapatkan perbezaan pandangan.

“Terakhir, jangan lepaskan peluang untuk melakukan pembelian ‘Cash On Delivery’ (COD), di samping dapat melihat sendiri barangan anda, ia juga dapat menjamin penjual tidak menghilangkan diri sejurus pembelian dilakukan,” katanya dalam kenyataan di facebook rasmi PDRM.

PDRM berkata, pihaknya menyedari kewujudan media sosial membuka pintu rezeki kepada ramai orang yang memulakan perniagaan secara online.

“Namun, tidak kurang juga ada sesetengah individu yang mengambil kesempatan untuk menjalankan penipuan dan memperdayakan pembeli.

“Ikutilah tips yang diberikan PDRM ini yang mungkin membantu mengelakkan anda daripada ditipu penjual online,” katanya.


Pengarang :