NASIONAL

Polis: Marshal tiada kuasa beri arahan trafik jalan raya

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 SEPT: Marshal tiada kuasa untuk menyuruh pengguna jalan raya memberi laluan, melencongkan jalan ataupun menghentikan kenderaan, demikian kenyataan yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui laman facebook, hari ini.

Melalui kenyataan itu, PDRM memaklumkan semua pengiring atau marshal tidak dibenarkan sama sekali mengawal lalu lintas sesuka hati.

“Penggunaan marshal dalam sesuatu pertandingan, konvoi atau apa jua program mestilah dihadiri dengan polis trafik.

“Orang awam atau pengguna jalan raya boleh mengingkari perintah mashal ini sekiranya mereka melakukan tugas-tugas trafik seperti meminta anda memberikan laluan, memberhentikan kenderaan di persimpangan jalan, melencongkan kenderaan anda dan pelbagai lagi,” kata kenyataan itu.

Dalam masa sama, mana-mana individu atau kumpulan yang menjalankan tugas trafik tanpa anggota trafik boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 21 Akta Polis 1967 atau Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Pengarang :