SELANGOR

Polis sahkan 20 maut keracunan arak di Selangor

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 SEPT: Seorang lagi dilaporkan maut akibat keracunan alkohol pada malam 17 September lalu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang meninggal dunia seramai 20 orang di Selangor sehingga jam 1 tengah hari tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, jumlah keseluruhan mangsa masih kekal 56 orang, sehingga hari ini.

“Seramai 20 orang yang meninggal itu terdiri daripada dua rakyat tempatan, lima (Nepal), sembilan (Myanmar), seorang (India), dua (Bangladesh) dan seorang lagi yang meninggal tiada maklumat.

“Selain 20 orang yang meninggal, 16 lagi masih mendapatkan rawatan manakala 20 mangsa sudah dibenarkan pulang,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Terdahulu, dalam kejadian bermula sekitar jam 7 malam itu, kesemua mangsa mengalami muntah teruk selepas disyaki mengambil arak daripada tiga jenama iaitu Mandalay Whiskey, King Fisher Beer dan Grand Royal Whiskey.

Bagaimanapun, Kerajaan Negeri merancang mencari kaedah terbaik untuk menutup premis menjual arak haram, di sekitar Selangor.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Negeri, Ng Sze Han berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat bersama agensi berkaitan, dalam masa terdekat.

“Kerjasama dengan agensi lain amat diperlukan kerana ia melibatkan pelbagai akta seperti Akta Kastam.

“Operasi bersepadu dengan agensi berkaitan juga perlu bagi mengelakkan perkara seumpama ini daripada terjadi,” katanya.


Pengarang :