NASIONAL

PRK Port Dickson: Anwar tidak mahu guna jentera kerajaan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 21 SEPT: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menggunakan jentera kerajaan sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson.

Beliau berkata, pemimpin PAKATAN yang berada dalam kabinet hanya akan diarahkan membantu memenangi PRK Port Dickson sahaja, bagi membolehkannya ke Dewan Rakyat.

Bagaimanapun katanya, beliau akan mengarahkan jentera di peringkat parti dalam usaha membantu kempen itu nanti.

“Sebenarnya ada program yang telah diaturkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang diadakan sebulan awal terpaksa dibatalkan kerana kita tidak mahu dilihat menggunakan kemudahan kerajaan.

“Jadi saya tegaskan di sini bahawa kita tidak mahu menggunakan kemudahan dan jentera kerajaan dalam PRK. Saya hanya mahu mereka iaitu pemimpin PAKATAN dalam kabinet sebagai pemimpin parti sahaja,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Terdahulu, Anwar berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Arau, Tan Sri Shahidan Kasim yang melahirkan sokongan secara terbuka terhadap Anwar untuk bertanding di PRK Port Dickson.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kepimpinan KEADILAN yang akan menentukan keputusan untuk menerima sokongan diberikan pemimpin UMNO.

“Kita kena sopan dan sokong. Jadi, saya sebagai calon tidak mahu nampak angkuh, saya tidak peduli siapa kamu, musuh atau tidak kita tidak boleh buat begitu.

“Siapa nak sokong saya terima kasih tapi haluan parti mesti diputuskan parti sendiri.

“Paling penting, peranan kita adalah memastikan kerajaan ini amat kuat di bawah pimpinan Tun Mahathir untuk melakukan proses yang amat besar,” katanya.


Pengarang :