SELANGOR

PRK Seri Setia: Halimey mahu bantu usahawan perluas perniagaan

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 2 SEPT: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar berhasrat untuk menyusun semula peniaga di DUN Seri Setia supaya lebih teratur dan bersih.

Menurutnya, fokus utama diberikan kepada peniaga kecil dan sederhana supaya mereka dapat meningkatkan pendapatan di samping memanfaatkan perkembangan teknologi masa kini yang berteraskan hebahan menerusi laman sosial.

“Saya mempunyai perancangan yang khusus untuk membantu peniaga yang terlibat dalam perniagaan kecil dan sederhana. Ini bertujuan untuk melihat mereka boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan perniagaan lain yang telah lama wujud.

“Antara fokus utama dalam perancangan itu ialah bermula dengan menyusun dan menaiktaraf semula gerai-gerai di DUN Seri Setia bagi memastikan ia berada dalam keadaan teratur dan bersih. Perniagaan yang teratur dan bersih adalah penentu kepada perkembangan sesuatu perniagaan itu pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata, golongan muda juga boleh mengambil iktibar daripada beberapa kisah kejayaan peniaga atas talian selain memberikan pendedahan awal terhadap dunia keusahawanan sejak di bangku sekolah.

“Kejayaan mereka meraih pendapatan luar biasa membuktikan perniagaan atas talian adalah antara platform terbaik untuk meraih kejayaan. Dengan berniaga atas talian, generasi muda mampu berniaga merentasi sempadan dengan hanya berbekalkan modal yang rendah, tetapi menikmati pulangan lumayan.

“Saya berpendapat, kelompok peniaga kecil dan sederhana hendaklah diberi pendedahan terhadap teknologi maklumat supaya mereka dapat memasarkan produk menerusi perniagaan di atas talian.

“Di samping itu, anak-anak muda juga harus dipupuk minat mereka secara berterusan supaya cenderung menceburkan diri ke dalam dunia keusahawan seawal di peringkat sekolah lagi,” katanya.

Halimey juga akan mengusahakan strategi dan mekanisme tertentu supaya usahawan muda khususnya mendapat peluang memromosi produk mereka secara aggresif terutama menerusi media sosial yang terpilih supaya dapat diperluaskan ke peringkat antarabangsa.

 


Pengarang :