SELANGOR

PRK Seri Setia: Pengundian awal lancar

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUBANG, 4 SEPT: Proses pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Seri Setia berjalan lancar dengan 44 peratus keluar mengundi setakat jam 11 pagi tadi.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Othman Mahmood berkata, proses pengundian awal itu membabitkan 2,770 orang terdiri daripada anggota dan isteri tentera serta polis.

“Pusat pengundian itu akan ditutup pada jam 5 petang ini, berbanding PRK DUN Balakong, pada jam 12 tengah hari ekoran jumlah pengundi awal di kawasan itu lebih rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika meninjau proses pengundian awal di Dewan Ababil, Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, di sini, hari ini.

Katanya, proses pengundian awal kali ini juga lebih teratur apabila pengundi tidak perlu menunggu terlalu lama susulan penambahan saluran.

“Saya difahamkan pihak pengurusan membuat secara berperingkat tetapi kita lihat semua saluran berjalan dengan bagus dan teratur tanpa menunggu lebih lama kerana semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kita buka tiga saluran tetapi kali ini kita tambah lagi dua saluran, lebih mudah.

“Kita juga buka saluran lima khas untuk isteri anggota supaya mereka tidak perlu beratur lama dan boleh terus mengundi lebih awal,” katanya.


Pengarang :