SELANGOR

Projek naik taraf Persiaran Mokhtar Dahari bukti keprihatinan kerajaan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 SEPT: Projek Menaik Taraf Laluan B49 Persiaran Mokhtar Dahari yang menelan kos RM114 juta mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keperluan infrastruktur rakyat Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, projek terbabit memberi faedah kepada penduduk di kawasan Sunway Kayangan, Kayangan Height, Alam Budiman dan penduduk sekitar dijangka siap sepenuhnya pada Mei tahun hadapan.

Katanya, skop projek itu membabitkan menaiktaraf jalan sedia ada sepanjang 4 kilometer (km) bermula dari Persimpangan Cahaya SPK hingga Persimpangan Jalan Buloh FT 3214, dua jejambat baru dan kerja pengalihan utiliti sedia ada.

“Pada Jun 2015, susulan daripada aduan diterima daripada penduduk sekitar mengenai kesesakan jalan raya bermasalah di sepanjang laluan B49 ini, satu kertas cadangan diusulkan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor untuk melaksanakan kerja menaiktaraf laluan ini.

“Pada 2016, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan RM150 juta kepada JKR Negeri untuk melaksanakan kerja menaiktaraf laluan ini.

“Ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri untuk memantapkan dan meningkatkan lagi pembangunan infrastruktur serta kemudahan asas di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian ‘stitching’ bagi projek menaiktaraf laluan B49 Persiaran Mokhtar Dahari dan lawatan kerjanya, di sini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri sememangnya amat peka mendengar rintihan dan suara rakyat serta komited bagi menyelesaikan sebarang masalah dihadapi rakyat setempat.

Sehubungan itu, katanya, dengan adanya inisiatif kerajaan ini, diharapkan ia dapat menyelesaikan banyak masalah terutamanya keadaan jalan yang kurang memuaskan yang sudah lama membelenggu masyarakat setempat.

“Setakat ini, 71 peratus siap iaitu awal dari jangkaan dan dijangkakan akhir bulan ini perkembangan projek 75 peratus,” katanya.


Pengarang :