OLEH NADIAH ZAMLUS
SHAH ALAM, 16 SEPT: Buat pertama kali di Malaysia, Kumpulan Syarikat Prolintas (PROLINTAS) menganjurkan acara sukan berskala besar yang diberi nama GCE Duathlon 2018 di atas lebuh raya negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PROLINTAS, Dato’ Mohammad Azlan Abdullah berkata, acara tersebut dianggap bersejarah apabila buat pertama kalinya Lebuhraya Guthrie ditutup sementara waktu sejak pembinaannya pada 2005.
Katanya, penutupan itu yang melibatkan jajaran sepanjang 55.4 kilometer bermula dari jam 3 pagi hingga 2 petang bagi memberi laluan kepada acara terbabit.
“Tujuan utama acara ini dianjurkan memandangkan Lebuhraya Guthrie menjadi tumpuan utama peminat sukan basikal pada setiap hujung minggu, terutamanya bagi penduduk Lembah Klang.
“Dalam masa sama, di lebuhraya ini juga kami mempunyai laluan khas buat penunggang motosikal, jadi lebih mudah bagi mereka membuat aktiviti riadah berkenaan, tetapi bezanya kali ini kami tutup sepenuhnya lebuhraya bagi memberi peluang kepada mereka untuk gunakannya,” katanya kepada SelangorKini.
Beliau berkata demikian selepas Upacara Pelepasan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) Duathlon 2018 di Plaza Tol Bukit Jelutong yang diketuai Pengerusi PROLINTAS, Datin Paduka Jamiah Abdul Hamid.
Kira-kira 1,000 peserta turut serta melalui acara GCE Full Duathlon (10 km berlari, 60 km berbasikal dan 10 km berlari) dan GCE Dash Duathlon (5 km berlari, 27 km berbasikal dan 5 km berlari).
Mohammad Azlan berkata, PROLINTAS juga mengambil kesempatan untuk menyalurkan sebahagian daripada kutipan yuran penyertaan kepada MERCY Malaysia yang dipilih untuk menjadi ‘rakan amal’ acara tahun ini.
Katanya, pihaknya merancang untuk menganjurkan acara yang sama pada tahun depan, sekali gus dijadikan sebagai acara tahunan.