PENDIDIKANSELANGOR

PTRS bakal dilaksana di sekolah mulai tahun depan

OLEH SHEEDA FATHIL

KAJANG, 14 SEPT: Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) bakal dilaksanakan dalam kawasan sekolah sekitar negeri, mulai tahun hadapan.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, program itu tidak berpeluang memasuki sekolah kerana terdapat kekangan daripada kerajaan terdahulu.

“Bagaimanapun, perkara ini masih dalam perbincangan bersama Kerajaan Negeri untuk ia mula dilaksanakan di beberapa sekolah terpilih, di sekitar negeri ini.

“Apabila wujudnya inisiatif sebegini, pihak DUN dan sekolah dapat bekerjasama menggunakan tenaga guru sedia ada dan pada masa sama, guru dapat menambah pendapatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Program Pecutan Akhir Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Impian, di sini, semalam.

Pada masa sama, Loy Sian yang juga Ahli Dewan Negeri Kajang berkata, PTRS dapat membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang tidak berkemampuan untuk ke tuisyen.

“Kerajaan Negeri komited mahu membantu pelajar di seluruh negeri ini yang kurang berkemampuan untuk pergi ke tuisyen berbayar terutama keluarga golongan berpendapatan B40.

“Sejak ia mula dilaksanakan, sambutan amat memberangsangkan walaupun terdapat kekangan dari kerajaan terdahulu,” katanya.

PTRS yang dianjurkan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Yayasan Selangor sejak Mac 2009 itu diteruskan dengan beberapa penambahbaikan demi meningkatkan tahap pencapaian diraih setakat ini.

Dasar pertama PTRS adalah memberi bantuan pendidikan berbentuk kelas tambahan (tuisyen) secara percuma kepada pelajar yang memperolehi keputusan sederhana atau lemah mata pelajaran, manakala kedua ia diberi kepada pelajar yang keluarganya berpendapatan bawah RM2,000.

PTRS membabitkan bilangan kuota 100 pelajar setiap kawasan dengan menawarkan mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah, sekali gus menyempurnakan amalan 5M (membaca, menulis, mengira, memikir, mangamal).

 


Pengarang :