NASIONAL

Remaja hilang tujuh hari di Gunung Singai ditemukan hari ini

BAU, 23 SEPT: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) hari ini berjaya menemukan seorang remaja yang dilaporkan hilang di Gunung Singai di sini sejak 17 Sept lalu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii yang turut bertindak sebagai komander operasi berkata, mangsa Stanley Khoo berusia 22 tahun berjaya ditemukan pada jam 8.40 pagi dan jaraknya dari Pos Kawalan Bomba (PKB) hanya 300 meter.

Namun, katanya, laluan dari PKB ke lokasi mangsa perlu mendaki dengan kecuraman 80 darjah.

“Mangsa dijumpai dalam keadaan lemah dan dibawa turun pada sekitar jam 9 pagi menggunakan tali,” kata Tiong.

Sebelum itu, menurut Tiong pada sekitar jam 8.10 pagi penduduk kampung berdekatan ada mendengar suara meminta tolong sebelum memanggil pasukan SAR untuk ke lokasi bagi mendapatkan mangsa.

Tiong berkata mangsa yang lemah dan lapar telah dikejarkan ke Pusat Perubatan Borneo di Kuching untuk mendapatkan rawatan.

Mengulas kejayaan menemukan mangsa, Tiong berkata ini berkat kerjasama daripada semua agensi, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam yang turut serta dalam operasi tujuh hari itu.

Operasi SAR hari ini turut disertai pasukan bomba dan penyelamat, APM, Pasukan Gerakan Am (PGA), Rejimen Sempadan, Kelab Kembara Anak Sarawak, REDS (Radio Amatuer) dan Polis Di-Raja Malaysia (PDRM).

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :