NASIONAL

Ribut di Perlis jejas 56 rumah

KANGAR, 18 SEPT: Sebanyak 56 rumah di beberapa kampung dan kawasan perumahan, di Perlis mengalami kerosakan selepas dilanda ribut dalam kejadian kira-kira jam 10 malam tadi.

Memetik laporan BERNAMA, antara kawasan terbabit ialah Mata Ayer, Bintong, Kayang, Beseri, Sena, Chuping, Kuala Perlis dan Pauh.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Perlis dalam kenyataan berkata, kejadian itu menyebabkan banyak kemudahan awam rosak, selain 156 pokok dilaporkan tumbang sehingga menghalang laluan di jalan utama.

“Operasi pembersihan pokok yang menghalang laluan dan menimpa rumah giat dijalankan pelbagai agensi selain orang awam,” katanya.

Selain itu, sebanyak 55 kes gangguan bekalan elektrik juga diterima ekoran ribut berkenaan.

Tinjauan BERNAMA di beberapa lokasi turut mendapati kerja pembersihan termasuk mengalih runtuhan pintu gerbang di Repoh dekat sini, selesai dijalankan.

Difahamkan beberapa sekolah turut mengalami kerosakan dan Jabatan Pendidikan Negeri dijangka membuat lawatan ke sekolah terbabit, hari ini.


Pengarang :