EKONOMI

Ringgit hampir tidak berubah berbanding dolar AS dalam dagangan awal

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Ringgit dibuka hampir tidak berubah berbanding dolar AS pagi ini apabila semua pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat sementara menunggu keputusan mesyuarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) selama dua hari yang berakhir hari ini, kata seorang peniaga.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan itu berada pada 4.1350/1400 berbanding 4.1350/1390 yang dicatatkan pada 6 petang semalam.

Peniaga itu berkata keputusan mesyuarat tersebut boleh memberikan bayangan tentang hala tuju kenaikan kadar faedah pada masa depan yang akan mempengaruhi pergerakan dolar AS, yang telah mula menunjukkan trend menurun.

“Terdapat keyakinan dalam pasaran kenaikan kadar ketiga tahun ini apabila inflasi meningkat dan ekonomi berkembang,” katanya.

Pada mesyuarat bulan lepas, penggubal dasar AS berkata satu lagi kenaikan kadar kemungkinan besar akan dibuat ‘tidak lama lagi’.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding yen kepada 3.6609/6657 daripada 3.6638/6677 pada Selasa dan mengukuh berbanding euro kepada 4.8628/8691 daripada 4.8644/8699.

Ringgit, bagaimanapun, susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0280/0321 daripada 3.0273/0309 semalam dan turun berbanding pound Britain kepada 5.4479/4561 daripada 5.4400/4465.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :