EKONOMINASIONAL

Ringgit tinggi berbanding Dolar Amerika

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) didorong laporan berita perjanjian perdagangan antara AS dan Mexico, kata peniaga, hari ini.

Pada jam 9 pagi, ringgit berada pada 4.1290/1330 berbanding dolar AS daripada 4.1350/1400 ketika ditutup semalam, lapor BERNAMA.

Ketua Strategi Mata Wang dan Penyelidikan Pasaran FXTM Global, Jameel Ahmad berkata, ringgit berjaya mendapatkan beberapa sokongan daripada penurunan dolar AS selepas laporan berita bahawa AS tanpa dijangkakan mencapai perjanjian perdagangan dengan Mexico.

Bagaimanapun, beliau berkata, sentimen bagi pasaran pesat membangun kekal tertekan dengan kebimbangan yang masih wujud berhubung rundingan perdagangan berlarutan antara AS dan China,yang belum lagi secara umum mencapai sebarang perkembangan.

“Ringgit sebahagian besarnya diniagakan dalam jajaran sempit,dengan 4.10 kekal sebagai paras penting psikologi bagi dolar AS/ringgit,” katanya.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Nota tempatan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0256/0289 daripada 3.0216/0261 semalam, namun naik berbanding yen kepada 3.6686/6725 daripada 3.6837/6898.

Mata wang tempatan susut berbanding euro kepada 5.4771/4845 daripada 5.4594/4677 semalam dan turut lemah berbanding pound Britain kepada 4.8623/8687 daripada 4.8380/8459.


Pengarang :