SELANGOR

RM4 bilion untuk enam juta rakyat

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 8 SEPT: Kerajaan Selangor membelanjakan RM4 bilion sejak tahun 2008 bagi membiayai pelbagai program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) untuk dinikmati rakyat negeri termaju itu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, walaupun Kerajaan Negeri mengeluarkan peruntukan besar bagi program terbabit, namun masih mampu meningkatkan rizab Selangor.

“Sejak 2014 hingga 2018, Kerajaan Negeri belanja RM1.3 bilion. Daripada 2008 hingga 2014, Kerajaan Negeri dah belanja RM2.6 bilion, campur RM1.3 bilion bermakna kita dah belanja hampir RM4 bilion untuk rakyat Selangor.

“Walaupun kita dah belanja RM4 bilion untuk dinikmati enam juta rakyat Selangor tetapi rizab masih tinggi dan masih sumbang 23 peratus atau RM270 bilion kepada Kerajaan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ceramah Grand Finale Pilihan Raya Kecil (PRK) Pakatan Harapan (PAKATAN) di sini, malam tadi.

Amirudin berkata, jumlah itu tidak termasuk pelbagai pembangunan yang dijalankan Kerajaan Negeri sejak mengambil alih pentadbiran, pada 2008.

Katanya, sebagai Dato’ Menteri Besar yang baru dilantik, beliau juga akan memastikan kebajikan rakyat negeri itu diutamakan khasnya bagi masyarakat Dewan Undangan Negeri Seri Setia.

 

 

 


Pengarang :