SELANGORSUKANKINI

RMS berkenan serah bendera Sukma ke-19

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 3 SEPT: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli menyerahkan bendera Sukan Malaysia (Sukma) ke-19.

Penyerahan bendera itu disempurnakan di Pusat Konvensyen Midlands, Seksyen 7, di sini, hari ini.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan EXCO Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor bersedia menghantar kontinjen untuk menyertai Sukma ke-19 yang bakal diadakan, pada 12 hingga 22 September ini, di Perak.

Kontinjen Selangor akan berangkat ke Perak dengan misi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi, ketika Sukma Sarawak, pada 2016 dengan merangkul 61 emas, 71 perak dan 63 gangsa.

Amirudin dalam ucapannya berkata, kontinjen Selangor akan mengambil bahagian dalam 29 jenis sukan dipertandingkan bagi menjayakan misi mengekalkan kejuaraan itu.

Katanya, antara sukan terbabit adalah renang, badminton, basikal, bola jaring, futsal, golf, hoki dan taekwando.

“Sebagai persediaan mempertahankan kejuaraan Sukma ke-19, Kontinjen Selangor menjalankan persediaan berperingkat selama empat fasa, sejak Oktober 2016.

“Program itu sudah dilaksanakan membabitkan lapan jenis sukan, pada fasa pertama dan jumlah pasukan terbabit dengan program persediaan Sukma ditambah secara berperingkat pada fasa kedua, ketiga dan keempat,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin mengucapkan tahniah kepada 679 orang terdiri daripada pengurus pasukan, jurulatih dan atlet yang mengambil bahagian dalam Program Persediaan Kontinjen Selangor ke Sukma.

Malah, katanya, Program Bapa Angkat Pasukan membabitkan Pihak Berkuasa Tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan turut memberi impak positif dalam persediaan Kontinjen Selangor menghadapi Sukma yang bakal tiba.

“Bantuan daripada segi penyediaan logistik dan kemudahan serta tempat latihan sesuai dilihat memberi perkembangan memberangsangkan terhadap prestasi atlet yang bakal bertanding.

“Saya berharap Kontinjen Selangor diketuai Dato’ Mohd Yasin Mohd Saleh dapat meneruskan usaha mempertahankan kejuaraan dan beraksi penuh semangat juang bersesuaian dengan moto Selangor pada tahun ini, “Terus Cemerlang”,” katanya.


Pengarang :