SELANGOR

Rodziah nafi abai isu penduduk Kampung Padang Jawa

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 SEPT: Pelbagai tindakan diambil Kerajaan Negeri bagi menyelesaikan isu segelintir penduduk di Lot 626 dan Lot 1416 Kampung Padang Jawa, Klang yang menerima perintah mahkamah untuk mengosongkan kediaman, baru-baru ini.

Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, Rodziah Ismail berkata, antara langkah itu ialah berbincang dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor bagi membantu penduduk berkenaan memohon Rumah Selangorku, secara ‘fast track’.

Katanya, Kerajaan Negeri turut mengadakan perbincangan bersama penduduk, peguam dan pemaju bagi mendapatkan penjelasan berkenaan situasi itu, sejak 2016.

“Daripada 170 penduduk terbabit, hanya 34 penduduk sahaja masih enggan menerima cadangan penyelesaian pemaju, menyebabkan mahkamah mengeluarkan penghakiman ingkar.

“Namun, saya memohon penangguhan perobohan diberi kerana ketika itu bulan puasa dan hari raya Aidilfitri,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, beliau turut melahirkan kekesalan dengan tindakan sesetengah pihak yang cuba mengeruhkan keadaan sehingga mendakwa Kerajaan Negeri tidak mengambil peduli terhadap permasalahan itu.

“Kami menyeru supaya semua pihak bersama membantu penduduk dan bukannya menyebarkan tohmahan. Sekali lagi saya menyatakan untuk sentiasa membantu menyelesaikan isu ini seharmoni boleh antara semua pihak,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan kekhuatiran beberapa keluarga di Lot 626 dan 1416 Padang Jawa yang bakal kehilangan tempat tinggal didiami sejak 50 tahun lalu selepas diarah berbuat demikian, sehingga 4 Oktober ini.

Penduduk turut menyatakan kekesalan dengan tindakan Kerajaan Negeri yang didakwa tidak membela nasib penduduk dan menyelesaikannya menerusi cara sepatutnya.

Pada 24 September lalu, Rodziah bersama peguam penduduk dan peguam pemaju mengadakan pertemuan yang turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad.

Keputusan berkenaan hasil perbincangan tercapai, namun peguam penduduk memohon untuk diberikan tempoh sehinga 28 September ini bagi diumumkan kerana perlu berjumpa dengan 34 penduduk terlebih dahulu.

 


Pengarang :