GLOBAL

Rusia cetus kebimbangan Israel, bekal peluru berpandu S-300 kepada Syria

GLOBAL 26 SEPT: Kabinet keselamatan Israel bersidang semalam ketika ketegangan baharu antara Rejim Zionis dan Rusia tercetus berikutan pengumuman Moscow mahu membekalkan sistem pertahanan udara canggih, S-300 kepada Syria.

Semua menteri berkenaan bertemu di Pejabat Perdana Menteri di Baitulmuqaddis untuk menerima maklumat terkini berhubung perkembangan terbaharu itu, kata seorang jurucakap kerajaan tanpa mengulas lanjut.

Menurut agensi berita Xinhua, sejurus selepas mesyuarat itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu akan berlepas ke New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pada Isnin lalu, Kremlin menyatakan bahawa Presiden Rusia, Vladimir Putin telah memaklumkan Netanyahu menerusi panggilan telefon bahawa Rusia akan membekalkan peluru berpandu darat ke udara, S-300 kepada Presiden Syria, Bashar Al-Assad bagi melindungi tenteranya.

Netanyahu memberi amaran bahawa pemindahan sistem senjata canggih ke tangan ‘pihak yang tidak bertanggungjawab’ itu akan meningkatkan bahaya di Asia Barat.

Pemimpin Rejim Zionis itu juga berkata, Israel akan terus mempertahankan keselamatan dan ke­pentingannya, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Netanyahu.

Langkah Kremlin itu diumumkan sehari selepas Rusia secara rasmi menuduh Tentera Udara Israel bertanggungjawab berhu­bung insiden menembak jatuh pesawat peninjau Il-20 milik Rusia pada Isnin minggu lalu.

Pesawat bersama 15 kru Rusia itu ditembak oleh peluru berpandu Syria tanpa disengajakan ketika Israel melancarkan serangan udara di wilayah Latakia, Syria.

Israel bimbang sistem misil S-300 itu akan mematahkan serangan udaranya ke atas Syria.

Dalam pada itu, Amerika Syarikat (AS) turut menggesa Rusia supaya menimbang semula langkah tersebut.

Rusia mahu memindahkan sistem peluru berpandu S-300 ke Syria pada masa lalu tetapi menangguhkan rancangan itu berikutan tekanan daripada Israel dan AS.

Rejim Zionis melancarkan sekitar 200 serangan udara ke atas Syria dalam tempoh 18 bulan lalu dengan alasan untuk menghalang konvoi senjata Iran daripada bertapak di negara itu.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :