GLOBALSAINS & INOVASI

Saintis China bangunkan plastik boleh terurai atasi pencemaran laut

BEIJING, 5 SEPT: Saintis China membangunkan sejenis plastik boleh terurai jika dibuang ke dalam laut, sekaligus membantu mengurangkan pencemaran plastik yang semakin serius di perairan, lapor Xinhua.

Jurutera kanan Institut Teknik Fizik dan Kimia Akademi Sains China, Wang Gexia berkata, poliester komposit baharu yang boleh terurai dalam air laut untuk tempoh beberapa hari hingga ke seratus hari itu, hanya akan meninggalkan molekul kecil dan tidak menyebabkan pencemaran,

“Sejak sekian lama tumpuan hanya diberikan kepada pencemaran di darat. Pencemaran plastik di laut mula menjadi perhatian apabila banyak laporan mengenai hidupan laut yang mati dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Wang.

Kira-kira 4.8 hingga 12.7 juta tan sisa plastik dibuang ke laut setiap tahun, menyumbang 60 hingga 80 peratus jumlah pencemaran pepejal di lautan, menurut anggaran saintis.

Disebabkan aktiviti manusia dan keadaan laut, kebanyakan sisa berkumpul di bahagian utara dan selatan Pasifik dan Atlantik serta tengah Lautan Hindi.

Media Perancis melaporkan jumlah sisa plastik di lautan antara California dan Hawaii, seluas 3.5 juta kilometer persegi, atau tujuh kali wilayah Perancis – dan terus meningkat sebanyak 80,000 kilometer persegi setahun.

Forum Ekonomi Dunia juga memberi amaran jumlah bahan buangan plastik di lautan akan melebihi jumlah berat ikan di laut pada 2050.

Hampir semua jenis plastik boleh didapati di laut, sama ada terapung atau tenggelam, dan tidak boleh mengurai selama beberapa dekad bahkan berabad lamanya, ujar Wang.

Banyak penyu serta lebih dari 90 peratus burung laut mati akibat termakan plastik.

“Kami masih kekurangan cara berkesan menangani pencemaran plastik yang serius. Sisa plastik di laut tidak dapat dikumpul seperti di darat. Ia mungkin dapat diatasi dengan membiarkan bahan-bahan itu terurai dan hilang,” katanya.

Institut Teknikal Fizik dan Kimia, satu daripada institusi penyelidikan terkemuka di China membangunkan plastik yang boleh terbiodegradasikan secara alami.

Penyelidikan itu baru-baru ini terpilih memenangi pertandingan teknologi inovatif masa depan di Shenzhen, Wilayah Guangdong.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :