Pelajar boleh mendapatkan ‘nasi bujang’ yang disediakan Aifa dari hari Isnin hingga Jumaat dan dari pukul 10 pagi hingga 10 malam. – Foto Bernama
SELANGOR

Sajian percuma untuk pelajar IPT tidak berkemampuan

SHAH ALAM 22 SEPT: Pengalaman terpaksa mengikat perut semasa belajar di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Johor tujuh tahun lalu mendorong pengusaha kedai makan di sini menyajikan sajian percuma kepada pelajar IPT yang menghadapi masalah kewangan.

Aifa Azman, 25, pemilik ‘Drastix Cafe’ di Kondominium Kristal, Seksyen 7, di sini menyediakan ‘nasi bujang’ yang terdiri daripada nasi bersama sup kosong, telur dadar dan sambal belacan.

 

“Saya turut selang-seli dengan masakan istimewa seperti ayam masak sambal pada hari tertentu,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, restorannya dibuka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam dan dari hari Isnin hingga Jumaat.

“Pelajar IPT bolehlah datang pada waktu itu untuk mendapat makanan percuma, ” katanya.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, beliau menggunakan wang simpanannya untuk menyediakan sajian percuma dengan niat sedekah pahala buat ibunya yang meninggal dunia pada 2014

Walaupun masih baharu, beliau berharap para pelajar IPT yang terpaksa mengikat perut kerana menghadapi masalah kewangan untuk datang ke cafenya.

Aifa juga menerima sumbangan orang ramai yang ingin bersedekah bagi tujuan membantu pelajar yang memerlukan.

Beliau berharap pemberian makanan percuma itu dapat dijadikan aktiviti berpanjangan dan bukan sekadar untuk sementara waktu.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :