EKONOMISELANGOR

Saran kecuali cukai bagi ekonomi digital

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Kerajaan Persekutuan perlu memberi peluang kepada pemain industri ekonomi digital dengan mengecualikan cukai buat sementara waktu.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana, Dato’ Teng Chang Khim berkata, hal itu kerana mereka adalah pemain industri yang baharu mengatur tapak, di Malaysia dan memerlukan sokongan kerajaan bagi terus berkembang.

Katanya, Malaysia adalah negara perdagangan penting di rantau ini, sekali gus perlu memainkan peranan penting memperluaskan pasaran e-dagang.

“Pemain industri ini masih baharu dan memerlukan masa untuk memupuk bidang ini supaya terus berkembang, justeru mereka sangat memerlukan galakan daripada kerajaan.

“Semestinya, kita perlu menghulurkan bantuan kepada mereka kerana Malaysia adalah negara perdagangan penting di rantau ini.

“Jika diberi peluang, negara ini boleh menjadi gergasi dalam pasaran e-dagang walaupun kita tidak mempunyai penduduk yang ramai, namun di rantau Asia Tenggara kita mempunyai 620 juta penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor 2018, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MiTEC), di sini.

Chang Khim berkata, sektor itu juga adalah pasaran besar untuk negara membina komuniti industri berkenaan dalam proses mencapai galakan dan bantuan.

Mengambil contoh di Selangor, beliau berkata, Kerajaan Negeri menubuhkan Majlis Teknologi Informasi dan E-dagang Selangor (SITEC) dan berjaya melatih peniaga e-dagang menerusi kerjasama Alibaba Group.

“Peniaga ini menggunakan landasan disediakan Alibaba Group untuk memperkenalkan produk mereka ke seluruh dunia,” katanya.

Semalam, Kementerian Kewangan memaklumkan sedang mengkaji beberapa perkara berkenaan struktur cukai bagi ekonomi digital terhadap pemain industri, termasuk penyedia kandungan perkhidmatan luar negara.

Timbalannya, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, kerajaan menyedari industri itu antara pemacu utama bagi pertumbuhan inovasi dan pembangunan negara.

Bagaimanapun, kerajaan masih dalam proses mengkaji dan belum memutuskan untuk memasukkannya dengan kadar segera dalam pembentangan Belanjawan Negara 2019, pada 2 November ini.


Pengarang :