EKONOMISELANGOR

SDEC 2018: Kumpulan Alibaba sumbang kepakaran e-dagang

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Syarikat gergasi jualan dalam talian, Kumpulan Alibaba memperkenalkan Sekolah Perniagaan Alibaba (Alibaba Business School) ketika Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) 2018, kali ini.

Menariknya, jurucakap terlatih dari Alibaba Business School itu berkongsi teknik kepakaran e-dagang milik mereka kepada 800 peserta yang menyertai konvensyen terbabit.

Pengarah Kumpulan Alibaba, Lewis Lew berkata, pihaknya berbangga kerana negeri itu komited melahirkan lebih ramai usahawan e-dagang dengan membawanya ke peringkat global.

Katanya, kerjasama dantara Alibaba dengan Malaysia sudah wujud sejak tiga tahun lalu apabila pihaknya memperkenalkan produk tempatan dari negara ini untuk diketengahkan.

“Bagi menggalakkan industri produk tempatan ke luar negara, kami berusaha membawa pakar untuk melatih usahawan e-dagang, di Selangor dan Malaysia amnya.

“Dalam tempoh terdekat, kami akan cuba membawa lebih ramai jurucakap yang mampu berbahasa Inggeris supaya kepakaran perniagaan ini dapat dikongsi semua kaum di negara ini,” katanya dalam ucapan.

Beliau berkata demikian ketika sesi bersama Sekolah Perniagaan Alibaba anjuran Majlis Teknologi Informasi dan E-dagang Selangor (SITEC), di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MiTEC), hari ini.

Hadir sama EXCO Pelaburan, Perindustrian, dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim dan Ketua Eksekutif Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (SITEC), Yong Kai Ping.

Diasaskan pada 1999, Alibaba kini antara 10 syarikat paling besar dan bernilai tinggi di dunia dengan beroperasi di lebih 200 negara.

Syarikat itu menyasarkan jualannya mencecah AS$1 trilion tahun depan atau bersamaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebuah negara.


Pengarang :