EKONOMISELANGOR

Sea Gamer Mall dipilih Top E-Commerce Merchant Award

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Sea Gamer Mall Sdn Bhd dipilih sebagai pemenang utama Top E-Commerce Merchant Award 2018, bersempena penganjurannya di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MiTEC), di sini, hari ini.

Diwakili Ketua Pegawai Operasinya, Tommy Chieng, mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, trofi dan plak penghargaan.

“Kami memulakan perniagaan pada 2007 dan menyambut ulangtahun ke-10, tahun lalu. Dari 12 orang pekerja sekarang kami ada 120 wakil di 12 buah negara.

“Bukan satu perjalanan yang mudah untuk berjaya dalam perniagaan. Tahun lalu kami sebagai pemenang 10 perniagaan terbaik dan tahun ini kami berjaya memenangi tempat pertama,” katanya.

Hermo Creative (M) Sdn Bhd di tempat kedua menerima wang tunai RM5,000, manakala Farm To Fork Sdn Bhd ketiga dengan hadiah wang tunai RM3,000, trofi dan plak penghargaan.

Bagi 2018 Best Startup Award pula dimenangi Wonderfly Holdings Sdn Bhd.

Hadiah disampaikan EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim sambil diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Teknologi Informasi dan E-dagang Selangor (SITEC), Yong Kai Ping.


Pengarang :