SELANGOR

Sekinchan antara pengeluar padi terbaik

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEKINCHAN, 25 SEPT: Sekinchan adalah antara lokasi pengeluar padi terbaik di negara ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Salahuddin Ayub.

Katanya, sehingga kini pesawah Sekinchan berjaya menghasilkan lapan hingga sembilan tan metrik hasil padi untuk sehektar.

“Berbanding dengan tempat lain, mereka hanya memperoleh antara empat hingga lima tan metrik hasil padi sahaja,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Pusat Belian Padi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pasir Panjang, di sini, hari ini.

Salahuddin berkata, disebabkan itu beliau turut mengkaji faktor perbezaan yang berlaku agak ketara, sekali gus meletakkan Sekinchan di tempat yang terbaik.

“Antara faktornya ialah disiplin pesawah dan teknologi yang digunapakai. Oleh itu, saya menyeru supaya semua pesawah di negeri ini mengubah sikap supaya lebih berdaya saing.

“Tidak kira Melayu, Cina atau Banjar. Jika ada disiplin, semua akan berjaya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, Sekinchan juga bakal menjadi perintis projek penanaman padi wangi yang pertama di negara ini ekoran kesuburan tanah dan sistem saliran yang serba lengkap serta moden.

Ia ekoran pesawah di Sekinchan juga memiliki teknik penanaman padi terbaik, sekali gus mampu menjayakan projek yang dijangka menambah pendapatan pesawah, di situ.

“Walaupun terdapat banyak kekangan dan risiko dalam proses menanam padi wangi tetapi kita harus berani mengorak langkah untuk mencipta kejayaan serta yakin kerana sebelum ini Sekinchan terkenal sebagai hasil tuaian padi tertinggi juga berkualiti,” katanya.

 

 

 


Pengarang :