EKONOMISELANGOR

Sektor e-dagang Selangor catat jualan kasar RM8 juta

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 14 SEPT : Lebih 400 syarikat yang menjalankan perniagaan e-dagang di Selangor berjaya mencatatkan nilai jualan kasar sehingga RM8 juta.

EXCO Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan, Industri Kecil & Sederhana (IKS) dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, kejayaan itu adalah melalui usaha gigih yang dijalankan Kerajaan Selangor dengan kerjasama Majlis Teknologi Informasi dan E-dagang Selangor (SITEC) yang turut mengenalpasti 5,000 usahawan berpotensi.

Katanya, pihaknya terus komited melahirkan lebih ramai usahawan e-dagang termasuk membawa Kumpulan Alibaba bagi membolehkan pertukaran pengetahuan serta idea dalam bidang terbabit.

“E-dagang menjadi topik sangat popular sejak kebelakangan ini kerana melaluinya kita berupaya mencapai wawasan perdagangan bebas, malah Alibaba melakukan perkara tersebut sehingga membolehkan mereka berniaga di mana sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Kursus Global Alibaba-Taobao Universiti ketika Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) 2018 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MiTEC), hari ini.

Chang Khim berkata, konvensyen anjuran SITEC itu mampu mewujudkan hubungan lebih kukuh antara komuniti e-dagang China dan Malaysia.

“Pada acara hari ini juga, MyStartr melalui SITEC akan memeterai perjanjian kerjasama sebagai rakan pendidikan berlesen dengan Taobao Universiti yang bakal membantu usahawan e-dagang Selangor pada masa depan.

“Ini juga akan meningkatkan lagi peranan SITEC sebagai pusat pendidikan dan pendokong komuniti e-dagang tempatan, sekali gus memudahkan pertukaran pengetahuan, kepakaran dan bakat,” katanya.


Pengarang :