SELANGOR

Selangor catat penurunan denggi 31%

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 5 SEPT: Selangor mencatatkan penurunan kes denggi sejumlah 31 peratus berbanding tahun lalu, kata EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Dr Siti Mariah berkata, laporan situasi denggi di Selangor secara kumulatif sehingga 25 Ogos 2018 merekodkan sejumlah 27,453 kes berbanding 35,343 kes bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.

“Kumulatif kematian pula mencatatkan 21 kes sehingga 25 Ogos 2018 berbanding 55 kes pada 2017 tempoh yang sama sekali gus menyaksikan penurunan sejumlah 62 peratus.

“Manakala, secara keseluruhannya di Malaysia sebanyak 33.60 peratus menyaksikan penurunan kes denggi dan apa yang pasti Selangor sememangnya menurun berbanding tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar pada sesi soal jawab hari ketiga Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr Siti Mariah berkata, 21 kematian itu dicatatkan di setiap daerah antaranya Petaling mencatatkan lapan kematian, Hulu Langat (empat); Sepang (tiga); Kuala Selangor (dua); Klang (dua); Kuala Langat (satu); Hulu Selangor (satu); manakala Gombak, Sabak Bernam tiada.

Selain itu, beliau berkata, pada tahun ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM5 juta untuk menampung perbelanjaan aktiviti kawalan dan pencegahan denggi.

“Hanya Selangor sahaja memperuntukkan sejumlah wang besar untuk menangani denggi berbanding negeri lain di Malaysia.

“Sebahagian besar peruntukan ini adalah bagi melantik Pest Controller Operator (PCO) bagi membantu kawalan di peringkat PBT sebanyak RM1.89 juta,” katanya.

Selain itu, katanya, RM1.2 juta disalurkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi pembelian racun serta peralatan dan keperluan dalam melaksanakan aktiviti kawalan dan pencegahan.

“Mesyuarat Tindakan Denggi Peringkat Daerah dipengerusikan oleh Pegawai Daerah pula diperuntukan sebanyak RM350,000 mengikut daerah bagi menangani isu berbangkit berkaitan yang boleh menyebabkan pembiakan denggi,” katanya.


Pengarang :