SELANGOR

Selangor kekalkan dasar hubungan baik dengan Persekutuan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 SEPT: Kerajaan Negeri mengekalkan dasar menjalin hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan kepentingan rakyat terbela.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari bagaimanapun berkata, layanan diberikan Kerajaan Persekutuan di era pentadbiran terdahulu dilihat seolah-olah memperkecilkan peranan besar Kerajaan Negeri sebagai penyumbang besar ekonomi negara.

“Kita sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan tetapi Kerajaan Persekutuan yang dahulu sering melayan kita secara tidak normal misalnya isu pelantikan Ketua Kampung.

“Begitu juga dengan rundingan penstrukturan air yang begitu sukar diselesaikan sebelum ini tetapi apabila Kerajaan Persekutuan bertukar barulah rundingan menjadi lebih lancar dan berjaya diselesaikan,” katanya

Beliau berkata demikian ketika sesi menggulung perbahasan menjujung kasih titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2018 di Bangunan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Katanya, dasar mengekalkan hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan akan diteruskan pada masa akan datang.


Pengarang :